Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
10.01.2020 Majlis Pelancaran Pencetakan Mushaf Brunei Darussalam Dan Tafsirannya - Juz 1

10 January 2020 

JABATAN PERCETAKAN KERAJAAN


Majlis Doa Selamat bagi memulakan proses percetakan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya - Juz 1 telah berlangsung pada hari ini di Bay 2, Jabatan Percetakan Kerajaan. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mendapatkan keberkatan agar projek percetakan dan penerbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya (Juz 1) berjalan dengan lancar dan sempurna.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang  memulakan proses pencetakan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya dan diikuti dengan laungan takbir.

 

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Panel-panel Masyaikh bagi penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya iaitu Mufti Kerajaan,  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar.

 

Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar;  Hakim Mahkamah Rayuan Syar'iah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Timbalan Mufti Kerajaan Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin serta Panel-panel Masyaikh yang lain, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Md Salleh, Pemangku Pengarah Percetakan, Awang Haji Kamarul Azam bin Haji Mohamad, dan juga pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

 

Pada permulaan ini, jumlah bagi cetakan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya  Juz 1 yang berukuran 17cm x 23cm (A5) ialah sebanyak 2,500 naskah. Sementara percetakan serta penerbitan Juz 2 dan seterusnya akan berjalan secara berperingkat-peringkat.

 

Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya adalah kesinambungan dari Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya yang telah dicetak, diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada tahun 2014.

 

Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya Juz 1 ini adalah satu usaha untuk menjelaskan isi kandungan Al-Quran dengan bahasa dan penyampaian yang mudah difahami oleh masyarakat Brunei.

 

Di samping itu, dengan adanya mushaf berkenaan akan dapat mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat Brunei dalam memahami ajaran Islam melalui pentafsiran ayat Al-Quran yang berasaskan kepada fahaman Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah aliran Al-Asya'irah / Al-Maturidiyah dan Fiqh Mazhab Syafi'e.

 


Mushaf Brunei Darussalam tulisan tangan adalah satu ristaan sejarah dan mercu tanda perkembangan syiar silam di zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

 

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Hj Awg Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Hj Awang Othman memulakan proses pencetakan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya dan diikuti dengan laungan takbir.YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama Panel-Panel Masyaikh bagi penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya meneliti hasil cetakan yang baru dicetak dari mesin pencetak


Attachments